Penerima Anugerah Semangat Lim Lian Geok 2024 (Ke-37) – YB Tuan Hassan bin Abdul Karim

Pencadang:

Wong Chin Huat

Kata-kata Pujian:

Yang Berhormat Hassan bin Abdul Karim, meskipun tampil sebagai Ahli Parlimen Barisan Belakang Kerajaan (backbencher), tetap berpegang teguh kepada prinsip untuk mempertahankan keadilan dan kedaulatan undang-undang, tidak berganjak sungguhpun dibadai gelombang populisme. Beliau tidak teragak-agak untuk menongkah arus dan membongkarkan kebatilan sekiranya perlu. Kelantangannya bukan sahaja mengejutkan, tetapi menyedarkan. Beliau tidak mengejar populariti atau kepentingan diri dalam politik. Ketegasan dan keberaniannya yang tulus menyerlahkan dirinya sebagai ahli parlimen yang terbilang.

Ucapan Penerima Anugerah

Hassan Karim, yang lebih dikenali sebagai Pak Hassan, kini merupakan Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kawasan Pasir Gudang. Sejak zaman universitinya, beliau telah menjadi aktivis politik berhaluan kiri yang memperjuangkan nasib golongan bawahan. Beliau menolak konsep pemisahan kelas, tidak percaya bahawa ahli politik atau pegawai kerajaan harus dianggap lebih tinggi daripada orang lain, dan menolak panggilan “YB.”
Dua kali Pakatan Harapan menerajui kerajaan selepas PRU 14 dan PRU15, beliau berfungsi sebagai Ahli Parlimen kerajaan di barisan belakang (government backbencher) dan sering dilihat sebagai “individu bermasalah” yang menyusahkan pihak partinya dengan kritikan lantang.

Backbencher Kerajaan lantang, bukan Pak Turut

Bagi Kerajaan Madani, Pak Hassan ibarat duri dalam daging yang sering membuat mereka tidak selesa. Dalam parti PKR sendiri, ramai tidak faham kenapa beliau sering mengkritik kerajaan sedangkan beliau berada di kem kerajaan.
Daripada kes-kes mahkamah mantan Perdana Menteri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, penggunaan Akta Hasutan, hinggalah kepada isu kontrak 5G baru-baru ini, Pak Hassan tidak henti-henti mengkritik pihak pemerintah kerana membelakangkan agenda progresif dan mengkhianati semangat Reformasi.
Akhirnya, kerana kritikannya terhadap kontrak 5G, pada hari yang sama beliau diumumkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Semangat Lim Lian Geok, beliau diheret ke Lembaga Disiplin parti PKR. Mujurnya, beliau dilepaskan kerana sokongan orang awam yang membanjiri media sosial.
Sebenarnya, dalam demokrasi berparlimen ala Westminster, ahli Parlimen barisan belakang parti kerajaan (backbencher) mengkritik kerajaan dan bukan menjadi pak turut yang sentiasa membela kerajaan adalah perkara biasa. Namun, di Tanahair, ahli Parlimen barisan belakang kerajaan lebih kerap melihat diri sebagai penyokong kerajaan malah pembimbing sorak yang sentiasa mempertahankan kerajaan sambil menyerang parti pembangkang secara agresif.
Figura amat luar biasa di Parlimen, Pak Hassan tidak pernah segan atau takut untuk mengkritik tindakan kerajaan yang tidak wajar atau kegagalan untuk bertindak apabila perlu. Sasaran pembelaan beliau meliputi semua pihak, daripada rakyat biasa, kumpulan minoriti, hinggalah kepada rakan pembangkang. Setiap kali berlaku ketidakadilan, beliau pasti bersuara lantang sebagai wakil rakyat, enggan menjadi pak turut yang “bijak” berdiam diri demi kepentingan politik.

Perintis Arus Populis Anti-Etnik

Dalam arus politik populisme kaum dan agama, ramai ahli politik menggadai prinsip untuk memenuhi sentimen kaum masing-masing. Namun, Pak Hassan tetap teguh mempertahankan keadilan dan kebenaran. Sebagai seorang Muslim, beliau melangkaui sempadan kaum untuk menyuarakan isu-isu yang melibatkan golongan minoriti dan memperlihatkan integriti politik yang jarang ditemui. Tak pernah mendakwah dengan kata-kata selaku orang alim, beliau menonjolkan kebesaran Islam sebagai rahmatan lil alamin (rahmat kepada seluruh alam) dengan tingkahlaku yang konsisten.
Apabila belanjawan kerajaan didakwa telah meminggirkan masyarakat Cina dan India, beliau menekankan bahawa kepedulian ini bukan hanya tanggungjawab ahli parlimen dari kaum-kaum tersebut, tetapi tanggungjawab bersama semua Ahli Parlimen.
Dalam kontroversi berkaitan pensijilan halal, apabila Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok, menjadi sasaran kritikan kerana menolak cadangan untuk mewajibkan pensijilan, Pak Hassan dengan tegas menyatakan bahawa punca sebenar masalah adalah pengumuman tidak sesuai oleh Menteri Agama. Beliau menyeru kabinet untuk berkomunikasi dengan rakyat sebelum melaksanakan dasar bagi mengelakkan ketegangan kaum yang tidak perlu.
Pak Hassan tidak takut menghadapi tekanan politik populisme kaum dan agama, sebaliknya bersedia meruntuhkan tembok pemisah yang memecahbelahkan rakyat.
Dengan tekad dan tindakan, beliau menegakkan teladan bahawa politik harus seboleh-bolehnya memperjuangkan keadilan dan maruah untuk setiap insan, dan bukan sekadar penghitungan untuk meraih paling banyak undi demi kemenangan.

This will close in 0 seconds

This will close in 0 seconds

This will close in 0 seconds

This will close in 0 seconds