Kenyataan Media Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Semangat Lim Lian Geok:Senarai Nama Penerima Anugerah Semangat Lim Lian Geok yang ke-38 (tahun 2025)

Dengan segala hormatnya Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Semangat Lim Lian Geok ingin mengumumkan bahawa Penerima Anugerah Semangat Lim Lian Geok yang ke-38 (tahun 2025) adalah seperti berikut:

Pengetua Hee Kam Foong

Pencadang:
YB Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan

Kata-kata Pujian: Demi mempertahankan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di pulau terpencil yang tiada bekalan air dan elektrik daripada ditutup, walaupun menghadapi pelbagai tekanan, beliau tetap menjalankan tanggungjawapnya sebagai guru besar dengan penuh iltizam dan dedikasi. Biarpun ditukarkan ke sekolah lain pada suatu ketika, beliau memohon kembali semula ke sekolah di pulau tersebut, malah cucunya turut dibawa bersama untuk belajar di sekolah itu. Setelah berusaha keras selama 14 tahun, perjuangan memindahkan sekolah akhirnya direalisasikan. Semangat kegigihan dan ketabahan beliau wajar dijadikan teladan.

Mendiang Lee Phung Koon

Pencadang: Sek Men Confucian (Persendirian)

Kata-kata Pujian: Sebagai anggota generasi gerakan mahasiswa di Universiti Malaya, beliau aktif dalam gerakan mahasiswa, prihatin terhadap nasib rakyat, cinta akan negara, berbakti kepada masyarakat sepanjang hayat, mendukung perjuangan hak asasi rakyat dan menceburkan diri dalam pembangunan pendidikan Cina. Beliau juga berkecimpung dalam penyelidikan dan pendokumentasian sejarah dan budaya, khasnya memberi tumpuan kepada penyusunan sejarah sekolah.
Beliau telah banyak berusaha untuk memajukan Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG dalam pelbagai bidang, antaranya termasuk meningkatkan kegiatan organisasi, menubuhkan Memorial LLG, melatih generasi pelapis, serta sentiasa memberi nasihat dan cadangan untuk memperkasakan organisasi. Sumbangan beliau yang unggul ini patut dijadikan suri teladan kepada semua.

SIS Forum (Malaysia)

Pencadang:Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights(MCCHR)

Kata-kata Pujian: SIS Forum (Malaysia) sentiasa berada di barisan hadapan mempertahankan hak wanita Islam di Malaysia; mengamalkan nilai kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan maruah insan berdasarkan ajaran Islam; berpegang teguh pada prinsip demokrasi dan kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan konvensyen hak asasi manusia antarabangsa; berani bersuara menentang ketidakadilan sosial dan diskriminasi jantina; mengambil pelbagai inisiatif dan tindakan perundangan untuk memartabatkan kedudukan wanita Islam.

Pengetua Teo Huat

Pencadang:Dr Poh Swee Hiang

Kata-kata Pujian: Sebagai warga pendidik dan sasterawan, beliau bukan sahaja merintis dan menyumbang kepada kesusasteraan kanak-kanak Cina Malaysia (Mahua) selama beberapa dekad, bahkan juga menerapkan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran, serta memupuk minat menulis dalam kalangan guru dan murid. Hasil karya beliau yang berlimpah-limpah menunjukkan usaha gigih yang dicurahkan kepada perkembangan sastera. Selain itu, beliau juga menganjurkan pelbagai pertandingan untuk mencungkil bakat baharu. Malah, beliau turut bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam penterjemahan karya-karya sastera, ini umpama membina jambatan budaya, memainkan peranan penting dalam usaha memupuk kemakmuran berbilang budaya.

Allahyarham Haji Shahrul Aman Bin Mohd Saari

Pencadang: Mohd Hafiz Abd Hamid (SUA IKRAM) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)

Kata-kata pujian: Allahyarham Haji Shahrul Aman bin Mohd Saari seorang yang tenang dan berprinsip. Beliau memimpin organisasi Muslim dengan penuh keikhlasan dan keterangkuman, bukan sahaja menunjukkan sikap yang sederhana dan terbuka, malah giat berusaha untuk menggalakkan interaksi antara kaum dan budaya dengan semangat kepelbagaian.
Beliau tegas memperjuangkan pembaharuan sistem dan proses pilihan raya serta institusi-institusi negara yang lain, menegakkan keadilan masyarakat, serta menambahbaik tadbir urus organisasi. Untuk mengekalkan prinsip-prinsip tersebut, beliau sering memberi bimbingan kepada generasi muda serta memperluaskan jaringan kerjasama masyarakat sivil. Beliau merupakan perintis pergerakan masyarakat sivil yang disanjungi orang ramai.

Anugerah Semangat Lim Lian Geok ditubuhkan pada tahun 1988. Dalam tempoh 38 tahun yang lalu (termasuk tahun ini), seramai 125 individu dan organisasi telah memenangi anugerah ini. Anugerah Semangat ditetapkan untuk memberi pujian kepada individu/organisasi yang memberi sumbangan kepada budaya bangsa maupun pendidikan bahasa ibunda. Pencalonan akan diberi pertimbangan berpandukan aspek-aspek berikut :-
A) Perkembangan Organisasi
B) Perjuangan Sosial
C) Perkhidmatan Komuniti
D) Sumbangan Akademik
E) Pembangunan Kebudayaan
F) Sumbangan kepada Golongan Tertindas (Vulnerable Groups)
Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menerima 18 cadangan calon penerima Anugerah tahun ini(2025), iaitu 14 orang individu dan 4 buah pertubuhan. Antara 18 pencalonan yang diterima, termasuk seorang berbangsa Melayu, seorang berbangsa India dan sebuah pertubuhan masyarakat sivil Islam, 3 orang telah meninggal dan 5 orang pesara yang masih berbakti kepada masyarakat.
Kebanyakan mereka berasal dari bidang pendidikan, namun latar belakang mereka pelbagai dan identiti serta peranan mereka berbeza. Antara mereka termasuklah bekas pengetua, penolong kanan, pengerusi lembaga pengarah, penggiat seni, saudagar, aktivis pertubuhan, penulis, ahli akademik dan kaunselor penulis, profesor, pesara kerajaan dan sebagainya. Daripada empat organisasi tersebut, dua adalah berkaitan dengan agama.
Terdapat 13 orang calon berasal dari Semenanjung Malaysia: masing-masing 3 dari Lembah Klang dan Perak, 2 dari Pulau Pinang, Melaka dan Johor, serta 1 dari Kedah. Yang seorang calon warga asing itu adalah dari Singapura. 2 daripada 4 organisasi tersebut adalah organisasi kebangsaan, dan dua adalah persatuan Cina tempatan.
Tahun ini, kebanyakan borang pencalonan dihantar ke tangan pihak kami dalam tempoh 3 minggu terakhir sebelum tarikh tutup pencalonan. Diharapkan semua pihak dapat menghantar borang pencalonan lebih awal pada tahun hadapan. Setelah melalui perbincangan yang teliti dan pemikiran berulang kali oleh Jawatankuasa Pemilihan, berdasarkan syarat dan kriteria, penerima Anugerah yang disebutkan di atas telah dipilih.
Jawakankuasa Pemilihan Anugerah Semangat Lim Lian Geok dengan sukacitanya mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan keluarga mereka, serta mengucapkan terima kasih kepada semua pencadang yang telah menyokong aktiviti penghargaan ini.
Mengikut syarat-syarat pencalonan anugerah ini, mereka yang tidak terpilih masih boleh mencuba lagi pada tahun hadapan. Dalam kalangan yang dicadangkan, ramai antara mereka telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Kegagalan tahun ini tidak bermakna mereka tidak berpeluang terpilih pada tahun hadapan.
Akhir kata, matlamat penubuhan Anugerah Semangat Lim Lian Geok adalah untuk meningkatkan semangat masyarakat dalam memelihara dan memajukan budaya serta pendidikan bahasa ibunda. Pihak kami berharap anugerah ini dapat mempertingkatkan motivasi dan semangat kalian. Mereka yang menjadi calon bermakna sumbangan mereka telah diberi perhatian.
Kami daripada LLG Cultural Development Centre dengan hati yang ikhlas, menjemput para tetamu hadir ke Majlis Penyampaian Anugerah Semangat Lim Lian Geok ke-38. Butiran Majlis Anugerah Semangat Lim Lian Geok ke-38 dan aktiviti-aktiviti Hari Pendidikan Cina Tahun 2025 pada 14hb Disember (Ahad) adalah seperti berikut:
(1) Upacara Peringatan Mendiang Lim Lian Geok
Masa 8:00am – 9:00am
Tempat Lim Lian Geok Memorial,
Jalan Kerayong, Bukit Petaling, 50460 Kuala Lumpur.
Nota Sarapan ringan HALAL disediakan di kantin Confucian Private Secondary School
pada pukul 9 pagi.
(2) Majlis Penyampaian Anugerah Semangat Lim Lian Geok ke-38
Masa 10:00am – 12:30pm
Tempat Dewan Auditorium, Tingkat 13, Confucian Private Secondary School,
Lorong Hang Jebat, 50150 KL.
Nota Makan tengah hari HALAL disediakan di Kantin Confucian Private Secondary
School selepas Majlis tamat.
(3) Persembahan Tarian “Memberi Penghormatan kepada Lim Lian Geok, Jiwa Budaya Cina Malaysia”
Masa 2:30pm – 4:30pm
Tempat Dewan Auditorium, Tingkat 13, Confucian Private Secondary School,
Lorong Hang Jebat, 50150 KL.
Nota Tarian ini adalah penciptaan kolektif Cikgu Wong Kit Yaw, penerima  Anugerah Semangat Lim Lian Geok tahun lepas
Butiran selanjutnya boleh dirujuk di laman web kami di https://llgcultural.com/2025/11/tema-hari-pendidikan-cina-2025/?lang=en

Terima kasih kepada media berikut kerana melaporkan pengumuman penerima Anugerah Semangat Lim Lian Geok ke-38 tahun ini.

 
 
Terima kasih kepada individu atau organisasi berikut atas perhatian mereka terhadap berita penerima Anugerah Semangat Lim Lian Geok ke-38: 

This will close in 0 seconds

This will close in 0 seconds

This will close in 0 seconds

This will close in 0 seconds