SOLIDARITI BERSAMA FLOTILA SUMUD GLOBAL:
KOMITMEN KEMANUSIAAN TANPA SEMPADAN
Kuala Lumpur, 6 Oktober 2025 – Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (Pusat LLG) menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Flotila Sumud Global, satu misi kemanusiaan yang disertai aktivis dari 44 buah negara, bertujuan menghantar bantuan ke Gaza dan menzahirkan solidariti global terhadap rakyat Palestin yang telah lama ditindas.
Sebagai organisasi yang menjunjung prinsip “Hidup Berbilang, Makmur Bersama”, kami menegaskan bahawa penderitaan yang berterusan di Gaza merupakan pencabulan nyata terhadap prinsip-prinsip asas undang-undang antarabangsa, khususnya:
(I) Konvensyen Geneva Keempat (1949) yang melarang sekatan kolektif ke atas penduduk awam (rakyat jelata);
(II) Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Charter) yang menekankan penyelesaian damai dan penolakan terhadap tindakan ketenteraan;
(III) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), khususnya Artikel 3 (hak kepada kehidupan, kebebasan dan keselamatan diri) serta Artikel 25 (hak kepada taraf hidup yang mencukupi, termasuk makanan dan penjagaan kesihatan).
Penyertaan Flotila Sumud Global adalah tindakan sah menurut prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa, demi menjamin hak dan maruah rakyat Palestin yang terhalang akses kepada keperluan asas oleh sekatan yang dikenakan secara kolektif.
Pusat LLG berpendirian bahawa:
(1) Kami berdiri terguh bersama dengan Kerajaan Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk menyokong misi flotila ini dan bertindak tegas dalam forum antarabangsa bagi menamatkan sekatan tidak sah ke atas Gaza;
(2) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan peminpin-pemimpin semua negara perlu mengambil tindakan bagi memastikan perlindungan kepada semua aktivis flotila dan mengecam tindakan Israel yang tidak munasabah tersebut, serta memberi tekanan kepada Israel agar tidak menghalang sebarang bantuan kemanusiaan ke Gaza;
(3) Masyarakat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama hendaklah terus menyuarakan solidariti dan berdiri bersama dalam perjuangan menegakkan keadilan sejagat.
Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menegaskan bahawa keamanan tidak dapat dicapai tanpa keadilan, dan keadilan tidak dapat dicapai tanpa penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia yang menyeluruh.
Hidup Berbilang, Makmur Bersama.
Kemanusiaan Tidak Mengenal Sempadan.
DIKELUARKAN OLEH: PUSAT PEMBANGUNAN KEBUDAYAAN LLG (PUSAT LLG)
TARIKH: 6 OKTOBER 2025

