PERUTUSAN HARI MALAYSIA 2026

“Mencintai Rakyat, Menjunjung Perlembagaan, Membina Malaysia Bersama”

Lim Soon Hong
Presiden, Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (LLG)
16 September 2026

 

Sempena Hari Malaysia, marilah kita menghayati kembali makna sebuah negara yang dibina daripada kepelbagaian, dipersatukan oleh sejarah dan disatukan oleh cita-cita untuk membina kehidupan yang lebih baik untuk semua.

Malaysia ialah tanah air yang kita kongsi bersama — tempat kita dilahirkan, membesarkan keluarga, mencari rezeki, menuntut ilmu, berbakti dan mewariskan harapan kepada generasi seterusnya.

Kecintaan kepada negara tidak seharusnya diukur melalui seberapa kuat kita mempertahankan satu-satu kaum daripada kaum yang lain. Sebaliknya, patriotisme harus diterjemahkan melalui kecintaan kita kepada rakyat Malaysia, penghormatan terhadap maruah setiap insan dan kesanggupan kita mempertahankan keamanan, keadilan serta masa depan bersama.

Perlembagaan Persekutuan merupakan asas penting kehidupan bernegara kita. Ia mengatur hubungan antara institusi, kerajaan dan rakyat, mengiktiraf kedudukan tertentu yang dijamin kepada orang Melayu dan Bumiputera, serta pada masa yang sama memberikan perlindungan terhadap hak-hak sah semua warganegara. Prinsip perlembagaan ini perlu difahami sebagai asas untuk membina kepercayaan dan kestabilan.

Kita juga harus menginsafi bahawa kepelbagaian kaum, bahasa, agama dan budaya bukan suatu kecacatan dalam pembinaan Malaysia. Namun itulah wajah Malaysia. Kita datang daripada latar belakang yang berbeza, mempunyai sejarah dan tradisi yang berbeza, namun kita berkongsi ruang kehidupan yang sama dan masa depan yang sama.

Kepelbagaian bangsa dan suku kaum seharusnya menjadi ruang untuk kita saling mengenali, saling menghormati dan saling melengkapi, agar kita dapat hidup makmur bersama serta membentuk identiti nasional Malaysia yang mencerminkan kekuatan kita bersama. Perbezaan agama dan budaya seharusnya mengajar kita tentang luasnya pengalaman dan kehidupan manusia, bukannya menjadi tembok yang memisahkan rakyat.

70 tahun yang lalu, Lim Lian Geok turut menyuarakan pemikirannya tentang masyarakat majmuk di tanah air ini melalui perutusan. Pada 13hb Mei 1956, beliau buat pertama kalinya menyampaikan perutusan Hari Raya Aidilfitri yang terkenal, “Pembinaan Jiwa” dalam akhbar Utusan. Sempena ulang tahun ke-70 penyampaian perutusan tersebut pada tahun ini, kita wajar menghayati kembali maknanya: pembinaan sesebuah negara bukan sekadar membangunkan ekonomi dan prasarana, tetapi juga membina jiwa rakyat, memupuk sikap saling menghormati, saling mempercayai dan semangat untuk bersama-sama memikul tanggungjawab terhadap masa depan negara.

Atas sebab itu, LLG amat prihatin terhadap kecenderungan sesetengah pihak menggunakan sentimen kaum dan agama sebagai instrumen politik. Perbezaan politik adalah sebahagian daripada demokrasi, tetapi membina sokongan melalui ketakutan terhadap kaum lain, menggambarkan sesebuah komuniti sebagai ancaman atau mempertikaikan kesetiaan rakyat berdasarkan keturunan hanya akan merosakkan kepercayaan yang amat sukar dibina.

Kita harus berani mengatakan bahawa mempertahankan kepentingan orang Melayu tidak memerlukan kita memusuhi kaum lain; mempertahankan hak masyarakat bukan Melayu tidak memerlukan kita menafikan kedudukan Melayu; dan mempertahankan agama tidak memerlukan kita menghina penganut agama lain. Negara yang matang ialah negara yang mampu menjaga kepentingan semua pihak tanpa menjadikan mana-mana kaum sebagai musuh.

Dalam memperingati Hari Malaysia, marilah kita mengembalikan politik kepada persoalan yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat — pendidikan yang berkualiti, peluang pekerjaan, kos sara hidup, perumahan, kesihatan, ekonomi yang adil, tadbir urus yang bersih serta masa depan anak-anak kita.

Kita mahu sebuah Malaysia yang bukan sahaja makmur, tetapi juga mempunyai jiwa kebangsaan; sebuah negara yang rakyatnya tidak melihat jiran yang berlainan kaum sebagai orang luar, tetapi sebagai sesama warga yang berkongsi tanah air.

Marilah kita mencintai Malaysia dengan cara yang lebih mendalam, iaitu mencintai rakyatnya, menghormati kepelbagaian mereka, menjunjung Perlembagaan, mempertahankan keharmonian dan memastikan tiada generasi yang mewarisi kebencian yang kita bina hari ini.

Pada Hari Malaysia ini, LLG menyeru seluruh rakyat agar memilih jalan yang lebih sukar tetapi lebih mulia — jalan saling memahami, saling menghormati, saling melengkapi dan membina negara bersama.

Kita mungkin berbeza asal-usul, bahasa, budaya dan kepercayaan. Tetapi masa depan kita adalah satu. Tanah air kita adalah satu. Malaysia ialah rumah kita bersama.

Selamat Hari Malaysia 2026.

 

Lim Soon Hong
Pengerusi
Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (LLG)

This will close in 0 seconds

This will close in 0 seconds

This will close in 0 seconds

This will close in 0 seconds