Sesi Meja Bulat: Amalan Berpuasa dalam Pelbagai Agama: Menuju Kefahaman dan Perpaduan Melalui Dialog Puasa

Majlis Teh Petang Meja Bulat bertemakan Amalan Berpuasa dalam Pelbagai Agama, iaitu siri keempat dalam program “Mengenali Puasa”, telah dianjurkan bersama oleh Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Hidayah Center Foundation dan Gerakan Belia Sepunjabi Malaysia (GBSM) pada 27 April yang lalu, dari jam 2.00 petang hingga 5.30 petang bertempat di Aroma Love Event Space, Taman Melawati. Majlis ini telah berjaya menarik lebih 30 orang peserta pelbagai kaum dan agama.

Selepas majlis ini, para peserta bukan sahaja mendapat pemahaman awal mengenai amalan puasa dalam pelbagai agama, malah mereka juga menunjukkan minat mendalam untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang aspek-aspek lain setiap agama. Ramai turut mencadangkan pembentukan satu platform pertukaran maklumat dan dialog antara agama demi memperkukuh persefahaman dan hubungan antara komuniti.

Selain sesi perkongsian oleh enam wakil agama – Joanes Lukas (Muslim), Abishek Josue Emmanuel (Kristian), Paramesvari Ramasamy (Hindu), Eow Shiang Yen (Buddha), Harmit Singh (Sikh), dan Ng Chee Siang (Taoisme) – majlis ini juga turut merangkumi jamuan sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Hidayah Center Foundation.

Daripada perkongsian mereka, para peserta memahami bahawa meskipun amalan puasa berbeza antara agama, tujuannya mempunyai kesamaan – iaitu bermula daripada kawalan fizikal (seperti menahan diri daripada makan dan minum), seterusnya membentuk disiplin dalaman,menyucikan minda dan tubuh, serta mendekatkan diri kepada Tuhan melalui doa atau meditasi. Secara fizikal, puasa membantu menyahtoksik tubuh serta pemulihan dan kesihatan usus dengan memberi rehat kepada sistem pencernaan.; manakala dari aspek mental, ia melatih kawalan emosi dan nafsu; secara rohani pula, ia menenangkan jiwa serta mempertingkat kesedaran dalaman.

Namun, perbezaan ketara turut wujud. Contohnya, agama Sikh tidak mengamalkan puasa.  Menurut Harmit Singh, ini kerana keutamaan dalam Sikhisme ialah pada makanan dan berkongsi. Mereka menggalakkan pemakanan vegetarian dan menyediakan makanan percuma berasaskan tumbuhan di rumah ibadat mereka iaitu Gurdwara, yang merupakan dapur komuniti terbuka kepada semua golongan termasuk mereka yang beragama lain dan golongan miskin.

Joanes Lukas pula menjelaskan bahawa puasa dalam Islam adalah kewajipan yang termaktub dalam al-Quran, khususnya dalam bulan Ramadan, yang merupakan satu daripada lima rukun Islam. Selain Ramadan, umat Islam juga digalakkan untuk berpuasa enam hari dalam bulan Syawal (kecuali pada hari pertama Aidilfitri), yang pahalanya menyamai puasa selama setahun. Puasa Islam menekankan pantang makan dan minum sepanjang siang, disertai dengan doa dan ibadah untuk menghapuskan dosa dan sebagai persiapan ke akhirat.

Abishek Josue dari agama Kristian menjelaskan bahawa meskipun agama Kristian berasal daripada agama Yahudi, terdapat banyak perkembangan dalam amalannya. Puasa dalam Kristian bukan lagi bertujuan untuk pengampunan dosa kerana Yesus telah menebus dosa manusia. Sebaliknya, ia menjadi saluran untuk mendekati Tuhan secara peribadi dan mendengar suara-Nya dengan lebih jelas. Menurut Injil Matius 6:16-18, puasa seharusnya dilakukan dalam kerendahan hati dan bukan untuk dipertontonkan, agar mendapat ganjaran rohani yang sebenar

Dalam agama Hindu, Buddha dan Tao, puasa tidak diwajibkan tetapi amat digalakkan. Amalan ini boleh berbentuk puasa penuh, vegetarian, atau pengawalan tingkah laku seperti berdiam diri, bergantung kepada ajaran mazhab/tradisi dan keupayaan individu.. Tidak seperti Islam atau Kristian yang menetapkan masa puasa tertentu (seperti bulan Ramadan atau tempoh 40 hari sebelum Easter), fleksibiliti ini menjadikan amalan puasa dalam ketiga-tiga agama ini lebih mudah diikuti tetapi juga mudah disalahfahami oleh orang luar, lalu menimbulkan cabaran dalam menjelaskan maksud sebenar puasa kepada masyarakat umum.

Paramesvari menjelaskan bahawa dalam agama Hindu, puasa dikenali sebagai Upavasa atau Viratham yang bermaksud “mendekati Tuhan”. Ia bukan sekadar menahan diri daripada makanan, tetapi juga melibatkan kawalan fikiran, perkataan dan tingkah laku. Terdapat pelbagai bentuk puasa seperti EkadashiShivaratri dan Navratri, bergantung kepada dewa yang disembah serta kalendar agama. Tujuan utamanya termasuklah penyucian karma serta mengukuhkan hubungan rohani dengan Tuhan melalui doa dan meditasi.

Ng Chee Siang pula berkongsi bahawa puasa dalam Taoisme bertujuan untuk memahami dan merealisasikan prinsip belas kasihan “Wu Liang Du Ren” (penolongan/pembimbingan tanpa batas) dan “Tai Shang Ci Bei”(belas kasih agung Taishang). Ia bukan sahaja sekadar usaha memurnikan tubuh dan minda serta mempertingkatkan pembinaan rohani, tetapi juga lambang kasih sayang sejagat dan niat luhur untuk membimbing dan menolong semua makhluk. Penganut Tao lazimnya berpuasa pada “Shuo Wang “, iaitu hari pertama dan hari ke-15 setiap bulan mengikut kalendar lunisolar serta pada perayaan seperti San Yuan Zhai dan Lei Zhai, dengan mengamalkan pantang seperti menghindari daging dengan pemakanan vegetarian, membersihkan tubuh dengan mengelakkan perlakuan nafsu, tidak berkata dusta, tidak membunuh, dan sebagainya. Ada penganut disertai dengan perbuatan baik seperti pemberian amal dan pembacaan doa bersama dengan pendeta tao pada masa tertentu.

Eow Shiang Yen menyatakan bahawa puasa dalam agama Buddha, iaitu Upavāsa (dalam bahasa Pali) merupakan satu bentuk amalan rohani untuk melatih kawalan diri, meningkatkan kesedaran dalaman (mindfulness dan pemerhatian diri) dan memupuk sifat belas kasihan. Amalan puasa ini berbeza mengikut tradisi: Mahāyāna menekankan belas kasihan dan penyesalan melalui lapan sila dan pemakanan vegetarian jangka panjang; Theravāda pula menekankan disiplin dan kesederhanaan, dengan kebiasaan berpuasa selepas tengah hari semasa Uposatha; manakala dalam tradisi Vajrayāna (Tibet), terdapat amalan Nyungné yang merangkumi satu hari makanan ringan dan satu hari puasa penuh tanpa makan dan minum.

Selepas sesi perkongsian, para peserta bersama-sama menikmati teh petang sempena sambutan Aidilfitri yang dianjurkan oleh Hidayah Center Foundation. Mereka juga mengambil peluang berkenalan, berkongsi minat dan bidang pekerjaan masing-masing, serta berbincang tentang kemungkinan mewujudkan kerjasama jangka panjang antara agama. Sebahagian daripada peserta turut berminat untuk mendalami lagi ajaran agama lain dan menerima jemputan untuk melawat Memorial Lim Lian Geok.

Program ini merupakan satu inisiatif baharu oleh Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG dalam usaha mempromosikan dialog antara kaum dan budaya. Sejak tahun lalu, dua program seumpama ini diadakan setiap tahun untuk memberi peluang kepada masyarakat pelbagai latar belakang untuk lebih mengenali semangat dan perjuangan Lim Lian Geok dalam memperjuangkan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG di https://llgcultural.com/?lang=en atau https://www.fb.com/events/1422133875866213 )

Foto berkumpulan Ho Chee Leong,Bendahari LLG(baris kedua kelima dari kanan ), Joanes Lukas, CEO HCF (baris duduk ketiga dari kanan), Harmit Singh, Naib Pengerusi GBSM(baris duduk kedua dari kanan)dengan pekongsi (baris hadapan) dan para hadirin

 

 

Foto berkumpulan Ho Chee Leong,Bendahari LLG(ke-4 dari kanan ), dengan Nur Ain sumaiyah (moderator, pertama dari kiri) dan Joanes Lukas, CEO HCF (ke-3 dari kanan), Harmit Singh, Naib Pengerusi GBSM(ke-3 dari kiri),Eow Shiang Yen, Setiausaha Agung, Persatuan Belia Buddhist Malaysia(ke-2 dari kiri), Ng Chee Siang, Setiausaha Persekutuan Pertubuhan Agama Tao Malaysia(ke-4 dari kiri), Paramesvari Ramasamy , Ahli majlis pusat, Hindu Sangam(ke-2 dari kanan), dan Abishek Josue Emmanuel(pertama dari kanan).

 

 

 

 

This will close in 0 seconds

This will close in 0 seconds

This will close in 0 seconds

This will close in 0 seconds