Persoalan Pembinaan Jiwa

Perutusan Sdr. Lim Lian Geok Sempena Perayaan Hari Raya Aidifitri, 1956

Dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan pembentukan negara Malaya, perkara yang menjadi perhitungan terpenting ialah persoalan pembinaan jiwa.

Pertama, kita harus memupuk gagasan Hidup Bersama Makmur Bersama. Kita sedia maklum bahawa Malaya adalah negeri yang didiami oleh pelbagai kaum. Setiap kaum yang terlibat dalam meneroka dan membangunkan tanah bertuah ini mempunyai sumbangan masing-masing yang wajar dihargai. Semua kaum harus dilayan sebagai anggota-anggota dalam sebuah keluarga, lantaran itu mempunyai hak dan kewajipan yang sama agar semua pihak yakin bahawa rahmat boleh dinikmati bersama, dan  tanggungjawab juga wajib dipikul bersama dalam saat-saat yang genting  demi membina sebuah negara yang utuh dan kukuh.

Kedua, memupuk keyakinan menjadikan Malaya sebagai Kampung Halaman yang Pertama. Peringatan ini khusus ditujukan kepada golongan kaum pendatang. Harus diperingatkan bahawa walaupun Saudara mempunyai negara asal, tetapi keturunan Saudara kini sudah menjadi anak Malaya. Malayalah satu-satu Tanah Pertiwi dan Kampung Halaman buat selama-lamanya. Hanya kepentingan Malaya sahajalah perhitungan utama Saudara. Dan negara selain dari Malaya tak lebih sebagai negara rakan sahaja.

Pembinaan jiwa adalah asas segala pembangunan. Kalau matlamat pembinaan jiwa belum tercapai, pastinya bermacam-macam persengketaan di luar dugaan akan galak berlaku.

Mendorong pembinaan jiwa adalah menjadi tanggungjawab tokoh pelopor sebuah zaman dan juga tanggungjawab setiap insan.

Barang siapa yang menolak gagasan Hidup Bersama Makmur Bersama adalah berdosa terhadap Malaya. Barang siapa yang akur sebagai warganegara Malaya, tetapi menolak Malaya sebagai negara pertiwinya juga berdosa terhadap Malaya.

Pada masa kini, perkembangan kebudayaan dan ekonomi antara kaum di Malaya amat tidak seimbang. Ini adalah gejala yang amat mengecewakan. Namun, kami percaya bahawa manusia dilahirkan dengan penganugerahan yang sama, hanya tahap perkembangan kebudayaan dan ekonomi sesuatu kaum itu mungkin berbeza pada peringkat tertentu, tiada jurang perbezaan antara yang mampu dan yang tak mampu. Kalau dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah saksama, ketidak-seimbangan tersebut dengan mudah bisa diperbaiki. Tidak mungkin berlaku keadaan yang unggul selama-lamanya unggul, dan yang terkebelakang kekal terbelakang. Ini adalah dimensi lain yang perlu diberi perhatian dalam persoalan pembinaan jiwa.

Saya yakin batas dan sempadan antara pelbagai kaum di Malaya akan sirna pada suatu hari nanti. Akhirnya masing-masing menjalani kehidupan yang sama dan menjadi anggota satu keluarga. Kita harus mempunyai perspektif dan wawasan sedemikian, dan berganding bahu  berpadu tenaga untuk merealisasikan matlamat tersebut.

Saya percaya teman-teman Melayu saya yang berfikiran terbuka akan akur dengan pandangan saya ini.

Akhir kalam, ingin saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidifitri kepada semua. Merdeka!

(Perutusan yang disampaikan oleh Sdr. Lim Lian Geok atas undangan Utusan Melayu edisi khas sempena Perayaan Hari Raya Aidifitri 1956. Terjemahan ini diusahakan oleh Dr. Chong Fah Hing berpandukan teks penuhnya dalam bahasa Cina)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *