PR1SMA: Koleksi Rencana Kontemporari

PR1SMA  Koleksi Rencana

PR1SMA: Koleksi Rencana Kontemporari, Suara Anak Muda, Seni dan Budaya
Suntingan:Faisal Mustaffa
Penerbit:Merpati Jingga
ISBN: 9789670584140
Tarikh:Julai,2015
Tebal: 358 halaman
Harga:RM25.00

Prakata AGEN PERUBAHAN YANG SAKTI /A. Samad Said

Setiap dekad ada masa renungannya. Setengahnya berjawab; setengahnya terbisu. Melalui buku upaya Faisal Mustaffa ini tampaknya tidak ada yang terbisu. Makanya, menjadi sangat menarik. Lihat saja—dari satu sisi, khususnya latar sejarah, tentu saja keraguan atau pertanyaan Lingswaran Singh agak mencabar. Siapa sebenarnya watak-watak utama kemerdekaan dan bila pula kita wajar memulai sejarah tanah air? Suara Lingwaran Singh yang mencabar ini, suka atau benci, wajib dijawab, apalagi ia adalah pertanyaan dari generasi baru yang berfikir dan menyelidik.

Dalam buku ini banyak pertanyaan sedemikian daripada 13 orang penulis. Masing-masing menulis cara dan gaya sendiri, tapi mereka sentiasa tidak lari daripada kemelut iklim tanah air yang coba difahaminya.

Ambil saja satu contoh yang paling topikal. Di sebalik latar resah—juga sebenarnya genting—negara semakin dibanjiri rakyat asing (dijeritkan, pada suatu waktu, seramai 30,000 orang, dibimbangi akan mudah mencemari landas dan jentera demokrasi kita. Mestikah kita berdiam?

Kita juga disedarkan sedang diancami pemborosan belanja yang ternyata semakin tidak terurus (khabarnya sudahpun melonjak setinggi RM billion). Seolah-olah tidak cukup itu—kita disedarkan oleh kelompok pembantah tentang tusukan undang-undang seperit Akta Hasutan, ditambah pula dengan nyalaan api perkauman dan kegusaran agama. Makanya, suara 13 orang golongan berfikir muda ini menjadi semakin bermakna dan penting.

Ternyata kita tidak lagi boleh membisu, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya ke-14 yang tentunya bakal cenderung ulang dicemari.

Tampaknya begitulah mula dan berkembangnya buku ini. Golongan terpelajar yang rata-ratanya resah ini sedang cermat menyelongkar—tentunya juga menilai—hampir setiap lapangan kehidupan dari kejituan sejarah membawa kepada soal kebebasan, keresahan agama, ketimpangan pendidikan,  pencemaran budaya, kebobrokan pilihan raya, kesamsengan siasah dan kegelisahan dunia antarabangsa. Menyorotnya secara lebih dekat kita memang dapat memahami keresahan yang ditimbulkan oleh kelompok ini.Rata-rata penemuan dan pandangan yang terpisah kemudian dapat dicantumkan untuk meresahkan kita sama. Sebab, rencana generasi baru ini dapat disimpulkan dengan kekata: berani menyiat kebenaran untuk menemukan kebenaran.

Lingswaran Singh, contohnya, memulai dengan mempersoalkan sejarah tanah air. Bermula dengan menyeret Sulalatus Salatin dan Hikayat Merong Maha Wangsa, dia merasa masih tidak cukup. Disedarkan, malah dibuktikan, betapa pekatnya pengaruh dan sumbangan besar India kepada semenanjung ini. Kenapa mesti selesa bermula sumbangan sejarah yang lebih awal, dan sengaja melupakan sumbangan sejarah yang lebih kuno?

Dari situmengertilah kita bagaimana setiap tapak seolah disalah atau tersalah letak. Buana agama, pendidikan, budaya, siasah, hubungan antara bangsa, lebih-lebih lagi kekacauan siasatan dipaparkan seikhlas mungkin. Adam Adli, contohnya, mendekati pilihanraya dengan kesedaran sejarah siasah bahawa pergelutan kuasa menjadi lebih runcing bagi pilihan raya ke-13. Disentuhnya takrif institusi  dan kegelojohan kuasa, malah tidak disembunyikan bahawa “Arab Spring” yang kurang disenangi kuasawan dan bangsawan”sudah mula menjadi satu indicator baru pergerakan perubahan.

“Yang kini sedang dilakari oleh majoriti sebenar; rakyat yang tidak memegang kuasa. Malah tanya Adam Adli: Oleh kesamaran konsep, oleh lunturnya era watak berani dari SITC sendiri—sekali lagi—oleh “Arab Spring” maka tinggallah pertanyaan penting: “Mampukah cita-cita memenangkan kerajaan baru melalui pilihan raya?” Keputusan penuh pertikaian menunjukkan bahawa pilihan raya ke-14 tidak mampu. Makanya, lawan tetap lawan—lebih kurang begitu.

Ternyata buku ini memang banyak rencahnya, malah terkadang memungkinkan kita menjengah ke persoalan-persoalan yang tidakpun terfikirkan. Contohnya yang terbaik, barangkali tulisan Chong Fah Hing. Ia sempat memujuk kita menjengah kehidupan sasterawan Ha Jin yang dududk dan berbahasa Inggeris, tapi sementara Amir Amin Halim juga , masih tetap terhidu budaya tanah asalnya.

Haris Zuan, Mohd Izzuddin Ramli dan Rizal Syeikhryz turut membuka ufuk dan bayang kehidupan yang menyedarkan, sementara Rahim Moncheh dan Yuvaragam Subramaniam turun mengejut, tapi masih sempat menghikmah kita. Pendeknya, pilihan “himpunan” penulis yang diupayakan oleh Faisal Mustaffa ini tetap sempat mendorong kita untuk mengunyah masalah tanah air yang beragam dan penuh meresahkan.

Kita hanya perlu tekun “menelaah” jika kita memang benar ingin memahami karenah dan kekusutan satu bangsa kacukan yang tersedia berbagai ragam tabii dan cecitanya.

Perhatian Muhammad Nazreen mengenangkan saya kepada karya batini yang membimbing—“Robohnya Surau Kami”. Ia memang sempat merobohkan keyakinan kita akan buana spiritual. Dan Mohd. Izzuamaddin Ramli kembali meningatkan kita tentang peranan sakti Islam: Memandu kehidupan manusia dalam semua aspek. Sementara Amir Amin Halim pula cekal meningatkan kita bahawa Piramid, Menara Eiffel dan Tembok Besar China tetap mewajakan tamadun dan citra sesebuah bangsa dan Negara.

Rizal Syeikhryz sekali lagi sempat mencendekia kita kepada apa ertinya kesan perjuangan John Sinclair yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Amerika. Hukuman keras pada dekad tujuhpuluhan itu sempat disandingkan dengan tindakan berat terhadap aktivis kemanusiaan Adam Adli. Walaupun dikira negara ini masih dijangka sebagai “soft autoritarian”, tapi yang ditampak Rizal ialah betapa seorang anak muda mula nekad “mencabar hegemoni” rejim pemerintah yang menurutnya semakin retak.

Dua rencana yang sama menariknya ialah rakaman Pahim Moncheh dan Yuvarajan Subramaniam. Begitulah di China, tapi sekurun sebelumnya masyarakat India berjaya melahirkan “Gerakan Harga Diri” yang dipelopori E.V.Ramasamy yang antaranya adalah pemansuhan perkahwinan kanak-kanak. Yuvarajan melakarnya dengan berkesan.

Ternyata terlalu banyak yang diberi oleh buku ini, tapi terlalu sedikit yang mungkin dapat kita mengunyahnya.

sila muat turun petikan PR1SMA: Koleksi Rencana Kontemporari, Suara Anak Muda, Seni dan Budaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *