Hari ke-5 bulan kelima dalam Kalendar Lunisolar Cina adalah hari yang penting dalam masyarakat Lingkungan Kebudayaan Asia Timur. Perayaan ini dikenali sebagai Perayaan Duan Wu atau Duan Wu Jie dalam bahasa Mandarin (juga dikenali sebagai Pesta Ketupat atau Pesta Perahu Naga atau Hari Penyair).
Pada asalnya, Perayaan Duan Wu disambut untuk mencegah wabak dan menyembuhkan penyakit di China, ada yang menyambut perayaan ini untuk memperingati kematian seorang penyair patriotik yang bernama Qu Yuan.
Secara tradisinya, pada hari ini akan disambut dengan memakan “zongzi”(ketupat Cina, juga disebut kuih chang) dan mengadakan perlumbaan perahu naga. Malahan juga minum wain realgar, menggantung dan membakar tumbuhan-tumbuhan tertentu yang dipercayai boleh menghindari penyakit dan serangga yang berbisa, serta berdoa untuk kesihatan dan keselamatan. Semua adat ini juga dijadikan motif seni potong kertas.
LLG Cultural Development Centre mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Duan Wu kepada semua rakyat Malaysia sempena perayaan pencegahan wabak tradisional ini.