Kenyataan Bersama Organisasi-organisasi Masyarakat Sivil (CSOs) atas penggunaan sejagat kalimah Allah
16 Mac 2021
Kerajaan diseru tarik balik rayuan. Semua pihak diseru terima keputusan Mahkamah Tinggi dan beranjak ke depan.
Kami, organisasi-organisasi masyarakat sivil (CSOs) yang bertandatangan di bawah menyeru Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menarik balik rayuan Kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac untuk membenarkan semua anak Malaysia untuk menggunakan kalimah Allah, perkataan bermakna Yang Maha Esa yang dipinjam daripada bahasa Arab oleh Bahasa Malaysia, Bahasa Iban, Bahasa Bidayuh, Bahasa Lun Bawang/Lun Dayeh/Kelabit dan Bahasa Punjabi.
Kami menyeru Kerajaan dan Rakyat Malaysia untuk mengambil keputusan Mahkamah Tinggi ini sebagai peluang untuk menamatkan satu polemik yang telah berlanjut selama 35 tahun sejak keputusan Kabinet Persekutuan untuk mengharamkan penggunaan sejagat kalimah Allah. Semua parti politik tidak harus menangguk di air keruh untuk meraih populariti politik dengan isu ini.
Kami mengambilmaklum bahawa pengharaman ini berpunca daripada ketakutan komuniti Muslim menjadi sasaran kepada pendakwahan agresif, yang sememangnya ditakuti oleh semua komuniti agama yang lain. Ramai orang Muslim di Semenanjung melihat Kristian berdoa dalam Bahasa Malaysia dan kepada Allah itu adalah helah sengaja untuk memurtadkan orang Muslim.
Penyalahfahaman ini berakar daripada kejahilan tentang fakta bahawa Kristian di Nusantara sudahpun berdoa kepada Allah dalam Bahasa Melayu, Bahasa Iban (‘Allah Taala’), Bahasa Bidayuh (Tuhan Alla), Bahasa Lun Bawang/Lun Dayeh/Kelabit (Tuhan Allah) dan bahasa-bahasa serumpun yang lain secara keseluruhannya sudah selama 476 tahun.
Kebanyakan Kristian yang berdoa kepada Allah adalah orang Sabah, orang Sarawak dan Orang Asli. Muslim di Sabah dan Sarawak, yang ramai antara mereka mempunyai saudara-mara dan sahabat-handal Kristian, rasa senang dan tidak terancam dengan Kristian berdoa kepada Allah, sepertimana juga Muslim di Indonesia dan dunia Arab.
Tiada pihak harus memprokovasi dan menyebarkan ketakutan tidak berasas bahawa Muslim akan murtad dengan Kristian berdoa kepada Allah. Fakta yang tidak dapat dipertikaikan ialah hampir atau lebih daripada 90% penduduk di negara-negara Arab dan Indonesia adalah Muslim sungguhpun Muslim dan Kristian telah berkongsi kalimah Allah dan istilah-istilaha keagamaan yang lain selama 1,442 dan 476 tahun.
Sebenarnya, Kristian berdoa kepada Allah menjadi satu gambaran yang mengsangsikan untuk Muslim di Semenanjung sejak 1980an adalah akibat semulajadi dua perkembangan, pertama, kejayaan Dasar Bahasa Kebangsaan yang memulihkan populariti Bahasa Malaysia di kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak; kedua, integrasi antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat yang meningkat dengan bertambahnya anak Sabah dan Sarawak berhijrah ke Semenanjung.
Keputusan Mahkamah Tinggi sekadar memulihkan status kuo sebelum tahun 1986 dan mematahkan satu sekatan ke atas Kristian Sabah, Sarawak dan Orang Asli atas ancaman tidak berasas yang terasa oleh Muslim Semenanjung tetapi langsung tidak dikongsi oleh Muslim Sabah dan Sarawak.
Keputusan Mahkamah Tinggi seharusnya dilihat positif atas dua asas. Pertama, ia mengukuhkan Malaysia apabila Kristian di Sabah dan Sarawak dapat berdoa kepada Allah sebebas sepupu Kristian mereka di Kalimantan, Indonesia. Kedua, ia mengukuhkan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan untuk semua.