Semoga anda dan keluarga anda sentiasa berada dalam keadaan yang sihat, sejahtera, ceria dan bahagia.
Harap anda sentiasa bersama kami memperjuangkan matlamat “Hidup Berbilang, Makmur Bersama”.
Salam daripada LLG Cultural Development Centre
Mengenali adat resam Tahun Baharu Cina
Perayaan Tahun Baharu Cina menandakan permulaan tahun baharu bagi takwim lunisolar Cina. Ia merupakan perayaan yang penting bagi orang Cina yang disambut sepanjang 15 hari.
Pembersihan Rumah
Sebelum perayaan kerja- kerja pembersihan akan dilakukan di kalangan masyarakat Cina. Mereka percaya bahawa dengan membersihkan rumah dapat membuang segala perkara yang tidak baik. Namum demikian, pada hari perayaan pertama Tahun Baharu Cina adalah tidak dibenarkan membuat kerja- kerja pembersihan seperti menyapu lantai dan pecahan barangan kerana ia dipercayai akan menghalau tuah.
Warna Merah
Selepas pembersihan, perhiasan kediaman juga dilakukan. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, pakaian dan hiasan lain turut disediakan. Merah merupakan simbol tradisi kemeriahan dan yang dipercayai membawa tuah. Selain itu, warna merah dan juga mercun dipercayai dapat menghalau “Nian” (raksasa pemakan manusia) dan juga roh yang jahat. Malah, warna seperti hitam dan putih yang dilihat sebagai warna berkabung adalah dipantang sama sekali.
Malam sebelum Tahun Baharu Cina: Makan Besar
Pada malam sebelum Tahun Baharu Cina, semua ahli keluarga akan berkumpul beramai – ramai untuk makan bersama. Adat ini menandakan ‘tuan yuan’ atau ‘reunion’ yang bermaksud berkumpulnya semula semua ahli keluarga untuk mengeratkan jalinan hubungan sesame keluarga.
Hari Pertama
Hari pertama adalah hari bagi mengundang dewa-dewi dari kayangan dan bumi. Ia juga merupakan masa untuk menziarahi ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat. Kebiasaannya, golongan muda akan melawat golongan tua dan menerima wang Ang Pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik.
Ang Pau
Sepanjang 15 hari sambutan, ahli –ahli keluarga yang telah berumahtangga akan memberi ‘Ang Pau’ kepada saudara mara dan sahabat yang belum berumahtangga. Ia membawa pengertian kesejahteraan yang berpanjang.
Buah limau
Buah limau mandarin yang dipanggil “kam” dalam bahasa Kantonis bermaksud emas merupakan satu kemestian yang perlu ada semasa merayakan Tahun Baharu Cina. Ia melambangkan limpahan kekayaan kepada masyarakat Cina.
Hari ke-7
Hari ke-7 dikenali sebagai ‘Hari Jadi Manusia’ (Ren Ri). Yee Sang yang berwarna-warni akan dilambung setinggi-tingginya dan dimakan pada hari tersebut. Tradisi melambung Yee Sang, adalah tradisi yang diamalkan di kalangan masyarakat Cina di rantau Asia Tenggara seperti Malaysia dan Singapura sahaja tetapi jarang diamalkan di masyarakat Cina di rantau lain.
Hari ke-9
Orang Cina Hokkien akan menyembah Maharaja Jed di Kayangan (Ti Gong). Hari ini juga dianggap sebagai ‘tahun baharu’ bagi Orang Hokkien.
Hari ke-15: Chap Goh Mei
Penutup kepada perayaan Tahun Baharu Cina yang juga dikenali sebagai Hari Kekasih versi Cina. Amalan yang paling popular adalah upacara sembahyang dan melontar buah limau ke dalam sungai atau kolam dengan harapan untuk mencari pasangan hidup.