Bedah Buku: Mitos Pribumi Malas

Hujah bahawa “Cina Kaya, Melayu Malas” tidak asing untuk masyarakat kita. Seperti biasa, masyarakat Cina akan melenting dengan label “Cina kaya”, manakala masyarakat Melayu akan berasa terhina apabila dituduh sebagai bangsa yang malas. Kontradiksi antara kedua-dua kelompok ini sering dimanipulasi untuk mengukuhkan kedudukan sang penguasa, sungguhpun disedari bahawa langkah politik sedemikian akan merobek hubungan antara etnik.

Mitos Pribumi Malas adalah karya agung Allahyarham Syed Hussein Alatas, tokoh intelek yang tersohor. Edisi asal dalam bahasa Inggeris diterbitkan pada tahun 1977, sebagai maklum balas kepada teori “pribumi malas” yang dikemukakan penjajah, yang kemudiannya disahut oleh Dr. Mahathir Mohamad dalam buku Dilema Melayu.

Masyarakat berbilang etnik seperti Malaysia gagal melangkah ke depan, seandainya terus dibelenggu dengan imej stereotaip yang terpahat pada etnik masing-masing. Menyedari hakikat ini, beberapa pertubuhan seperti Dong Zong, Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH), Pusat Kebudayaan LLG dan Yayasan Tan Kah Kee mengambil inisiatif untuk menganjurkan sesi bedah buku Mitos Pribumi Malas.

Kami berbesar hati kerana Tarmizi Anuwar daripada LEAD menerima undangan sebagai pembedah buku, dan pembentangan beliau akan disusuli dengan ulasan oleh Ooi Heng, Ketua Eksekutif KLSCAH. Moga-moga dialog yang dipengerusikan oleh Farhana Halim ini akan menyuburkan wacana untuk masa depan Malaysia.

Ikutilah siaran langsung Bedah Buku Mitos Pribumi Malas di Facebook, dan juga di Kinitv.

Sila klik https://forms.gle/o1oHMj2X2aaFRCs1A untuk mendaftarkan diri (percuma). Kami akan memaklumkan pautan untuk siaran langsung kemudiannya. Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *