Menu

Tarik balik Pindaan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Shariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965

Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) percaya bahawa Islam merupakan satu agama yang berasaskan belas kasihan, keamanan and keadilan. Agama adalah satu perkara peribadi antara individu and Tuhan, ajaran agama haruslah dilaksanakan melalui pendidikan dan bukan dengan mengenakan hukuman yang keras, yang tidak selaras dengan ajaran Islam sebagai satu agama yang tidak mengguna paksaan.

Oleh itu, GBM berasa bimbang terhadap rang undang-undang persendirian oleh YB Abdul Hadi Awang, ahli parlimen Marang dan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), untuk meminda Akta Mahkamah Shariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan mengembangkan kuasa mahkamah Shariah untuk mengenakan hukaman yang lebih keras.

Pemindaan rang undang-undang ini akan mengeluarkan batasan hukuman yang ada sekarang oleh mahkamah Shariah, iaitu hukaman maksimum 3 tahun penjara, maksimum denda RM 5000 dan rotan sebanyak 6 kali, dan mengantikannya dengan satu ayat yang luas dan umum, “ hukuman yang dibenarkan berdasarkan Undang-undang Shariah” untuk kesalahan-kesalahan yang disenaraikan di bawah perkara satu dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, kecuali hukuman mati.

GBM khuatir  ayat yang begitu luas dan umum dalam pindaan rang undang-undang ini yang membolehkan semua bentuk hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang shariah untuk dilaksanakan, akhirnya akan memberi laluan untuk hukuman hudud seperti pemotongan kaki dan tangan untuk kesalahan mencuri dan merompak (Sariqah dan Hirabah) dan rejam untuk kesalahan zina dan liwat dilaksanakan. Jika rang undang-undang ini berjaya dipinda, halangan terakhir untuk pelaksanaan hukuman hudud hanya tinggal sahaja Jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan dua per tiga majoriti dalam parlimen untuk dipinda.

Ini akan menjadi petanda bermulanya satu anjakan paradigma meninggalkan kontrak sosial pada tahun 1963 semasa pembentukan Malaysia, iaitu berubah dari sebuah negara yang liberal dan sekular kepada satu negara teokratik di mana undang-undang Shariah akan dilaksanakan sepenuhnya secara berperingkat. Hala tuju perkembangan ini adalah bertentangan dengan semangat dan pinsip pembentukan Malaysia dan tidak selaras dengan realiti masyarakat kita yang berbilang etnik, budaya dan agama.

Pada ketika ini, pindaan rang undang-undang ini akan secara langsung mengembangkan kuasa mahkamah shariah untuk mengenakan hukuman yang lebih keras ke atas kesalahan yang dilakukan oleh Muslim, kecuali kesalahan jenayah yang sudah diperuntukan hukuman di bawah senarai Pesekutuan. Dalam ertikata lain, ini akan membatalkan segala halangan untuk kerajaan PAS negeri Kelantan, untuk melaksanakan sebahagian daripada hukuman-hukuman yang tersenarai dalam Kod Jenayah Shariah yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun  2015, termasuk sebatan rotan 100 kali untuk kesalahan zina oleh orang yang belum berkahwin, seatan rotan 80 kali untuk kesalahan membuat tuduhan zina yang palsu (qazaf), sebatan rotan 40-80 kali untuk kesalahan minum arak (syurb), rampasan harta dan hukuman penjara yang tidak tentu tempohnya untuk kesalahan riddah. Ini juga akan membuka ruang untuk negeri-negeri lain untuk membuat pindaan kepada Kod Jenayah Shariah mereka untuk mengenakan hukuman yang lebih keras keatas kesalahan-kesalahan ini.

Walaupun GBM mengalu-alukan hukuman mati sebagai hukuman tidak dimasukkan ke dalam pindaan rang undang-undang ini, kami berpendirian bahawa hukuman sebatan rotan boleh mendatangkan kesan buruk kepada badan dan merupakan satu bentuk penyeksaan, layanan yang tidak berperimanusiaan dan menjatuhkan martabat yang tidak selaras dengan hak asasi manusia sejagat, manakala hukuman rampasan harta adalah bertentangan dengan Perkara 13 dibawah Perlembagaan Persekutuan, yang melindungi hak kepada harta. Negara kita juga telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan hukuman penahanan berterusan tanpa tempoh tetap, justeru pemenjaraan untuk tempoh masa yang tidak tentu merupakan satu bentuk hukuman yang tidak adil dan seharusnya tidak lagi diterima.

GBM juga bimbang lebih banyak kezaliman akan berlaku dengan keperluannya bukti-bukti seperti yang dicadangkan oleh Kod Jenayah Shariah Kelantan 2015, yang mana hanya lelaki Muslim mempunyai kelayakan sepenuhnya untuk memberi keterangan sebagai saksi untuk semua kesalahan dan sekurang-kurangnya empat saksi diperlukan untuk membuktikan kesalahan zina. Contohnya, seorang wanita yang menuduh suaminya melakukan kesalahan zina, wanita tersebut mungkin akan dituduh dengan kesalahan qazaf dan dihukum sebatan rotan 80 kali, jika dia tidak mampu mengemukakan empat lelaki Muslim sebagai saksi. Perlunya bukti yang sebegini ketat menyebabkan risikonya tinggi dalam membuat tuduhan palsu, terutamanya dalam sesebuah masyarakat yang sangat patriarki. Adalah juga tidak jelas betapa penting bukti-bukti saintifik dan bukti-bukti mengikut keadaan dalam proses penghakiman Shariah.

Oleh itu, kami menyeru YB Abdul Hadi Awang untuk menarik balik rang undang-undang persendiriannya.

 

Kenyataan ini dikeluarkan bersama oleh Pertubuhan-pertubuhan ahli GBM seperti berikut:

 

  1. Anak Muda Sarawak (AMS)
  2. ENGAGE
  3. The Federation of Alumni Associations of Taiwan Universities, Malaysia (FAATUM)
  4. The Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)
  5. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI)
  6. LLG Cultural Development Centre (LLG)
  7. Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoism (MCCBCHST)
  8. National Indian Rights Action Team (NIAT)
  9. Negeri Sembilan Chinese Assembly Hall (NSCAH)
  10. Partners of Community Organisations, Sabah (PACOS Trust)
  11. Penang Chinese Town Hall (PCTH)
  12. Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran)
  13. Persatuan Bekas Siswazah Universiti dan Kolej di China, Malaysia (Liu Hua)
  14. Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (PERMAS)
  15. Pusat KOMAS
  16. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
  17. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
  18. Tamil Foundation
  19. Tindak Malaysia
  20. United Chinese School Alumni Associations of Malaysia (UCSAAM)