Menu

[Buku] LIM LIAN GEOK: JIWA BUDAYA CINA MALAYSIA

LIM LIAN GEOK: JIWA BUDAYA CINA MALAYSIAms depan buku baru-setengah

Penyunting:Kua Kia Soong

Penterjemah:Lim Hong Siang

Penerbit:LLG Cultural Development Centre

Cetakan Pertama:September 2016

Harga:RM 20

Muka Surat: 194

ISBN:978-967-11616-8-5

 

Sinopsis

Buku pertama dalam bahasa Melayu tentang seorang pejuang yang dinobatkan sebagai “Jiwa Budaya Cina Malaysia” sejak beliau meninggal dunia pada tahun 1985. Tidak pernah dalam sejarah seorang Cina Malaysia diberi pengiktirafan sebegitu tinggi – jenazahnya ditempatkan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur untuk orang awam tampil memberi penghormatan terakhir. Pasukan perarakan pada hari pengebumiannya mencatat rekod terbesar dalam sejarah masyarakat Cina Malaysia.

Namanya adalah Lim Lian Geok. Setiap tahun pada Disember, pemimpin parti politik, pertubuhan dan pelajar-pelajar sekolah akan tampil memberi penghormatan di makam tokoh ini, bertempat di tanah perkuburan Hokkien, Kuala Lumpur.

Beliau adalah jurucakap kepada komuniti Cina Malaya sepanjang perjuangan kemerdekaan. Beliau mengambil bahagian dalam “Mesyuarat Perundingan Melaka” bersama Tunku Abdul Rahman pada tahun 1955, untuk berunding tentang isu Perlembagaan. Beliau diundang untuk menulis perutusan Hari Raya dan disiarkan Utusan Melayu dalam tulisan Jawi pada tahun 1956.

Namun demikian, pendidik yang patriotik ini dilucutkan kerakyatannya dan pendaftaran gurunya pada tahun 1961, meskipun beliau memberi sumbangan besar terhadap pendidikan bahasa ibunda, hak sivil dan pembinaan negara.

Lim Lian Geok bukanlah stereotaip Cina Malaysia dengan pakaian yang segak, kereta yang mewah, menghambat kuasa, kekayaan dan gelaran. Sehinggalah akhir hayatnya, beliau hidup dalam keadaan yang sederhana berhemat. Beliau adalah guru pertama dan pemimpin kesatuan guru terkedepan untuk menggalas misi sebagai pejuang hak sivil untuk komuniti Cina Malaysia serta hak pendidikan bahasa ibunda semua kaum.

Buku ini bertujuan untuk memaklumkan warga Malaysia bahawa inilah masanya untuk memperbetulkan ketidakadilan yang diperlakukan ke atas seorang patriot dan pejuang hak sivil, dengan mengembalikan kerakyatannya dan pendaftaran gurunya. Juga untuk memperkenalkan kepada dunia, bahawa “Inilah orangnya!”

 

 

Lim Lian Geok, Deklarasi Menuntut Kerakyatan dalam Persidangan Kebangsaan Perwakilan Pertubuhan-Pertubuhan Cina Berdaftar, 27 April 1956:

Kami menyeru agar semua komuniti di Malaya memahami bahawa meskipun kita mempunyai perbezaan yang nyata dari batas kaum pada peringkat ini, hubungan persaudaraan akan tetap terjalin apabila kita semua berganding bahu untuk membina negara ini. Anak-anak dan cucu-cicit kita akan bekerja dan bermain bersama-sama di atas bumi yang tercinta ini.

Malah pada masa yang akan datang, batas perbezaan ini boleh dihapuskan melalui interaksi budaya sehingga kita menjadi sekeluarga. Tanggungjawab yang perlu kita galas sekarang adalah membina asas persahabatan dan kerjasama untuk anak-anak dan cucu-cicit kita, memupuk semangat untuk hidup makmur bersama.

 

Muka Surat Isi Kandungan   LIM LIAN GEOK: JIWA BUDAYA CINA MALAYSIA