Menu

国会记录 – 内政部长拒绝恢复林连玉公民权

Perubahan yang signifikan telah berlaku sepanjang 50 tahun yang lepas. Namun begitu dengan transformasi politik yang terarah kepada dasar bahasa baru terutamanya di negaranegara bekas jajahan, banyak bahasa telah mengalami kepupusan dan banyak lagi yang berada di tahap kemunduran. Mendiang Cikgu Lim telah dipuja sebagai martir keramat oleh masyarakat Cina dan ketidakadilan yang dialaminya bukan sahaja merupakan penghinaan terhadap masyarakat Cina, pada keseluruhannya juga membayangkan Kerajaan Persekutuan tiada keinginan untuk membetulkan kesilapan yang begitu menonjol sekali.

Berdasarkan keadaan semasa negara, perpaduan antara kaum merupakan subjek kritikal dalam pembangunan negara. Pada masa menjelang kemerdekaan Malaya, Cikgu Lim dalam perutusan beliau yang disiarkan dalam Utusan Melayu sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri telah mengemukakan konsep ‘Hidup Berbilang, Makmur Bersama’ yang dianggapnya sebagai perhitungan terpenting dalam pembentukan negara.

Pada 12 Ogos 1961, beliau telah menerima surat perlucutan kewarganegaraan dengan alasan:

(a) mengelirukan dan memutarbelitkan dasar pelajaran kerajaan, bertujuan untuk menghasut ketidakpuasan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Persekutuan; dan

(b) membuat rayuan-rayuan emosional bersifat perkauman yang melampau, bermaksud untuk mempromosi perasaan benci dan permusuhan antara pelbagai kaum di persekutuan yang mungkin mengakibatkan kekecohan.

Selepas kerakyatannya ditarik balik, beliau enggan meninggalkan Malaya kerana berpendapat dirinya tidak bersalah. Beliau tetap setia kepada negara dan bermastautin 24 tahun di Malaya selepas kerakyatannya dilucutkan. Beliau percaya satu hari keadilan akan ditegakkan.

Satu kempen keadilan untuk Cikgu Lim telah dilancarkan pada 8 Mei 2011 oleh 81 pertubuhan masyarakat sivil. Seramai 600 orang menghadiri pelancaran tersebut sebulat suara meminta kerajaan mengembalikan status kerakyatan beliau dan menggubal Akta Kesamarataan Pendidikan untuk menangani pendidikan bahasa ibunda secara adil dan saksama. Dengan ini saya meminta Kerajaan Persekutuan menyatakan adakah kerajaan akan mengembalikan status kerakyatan kepada Cikgu Lim dan menggubal satu undang-undang baru untuk memastikan sekolah kebangsaan dan sekolah aliran Cina dan Tamil mendapat peruntukan yang sama rata. Sekian, terima kasih… [Tepuk]

Timbalan Menteri Dalam Negeri II [Dato’ Lee Chee Leong]: Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Bakri di atas ucapan penangguhan yang telah dibangkitkan tersebut.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, akhbar Sin Chew Daily, Nan Yang, China Press dan Oriental Daily News keluaran 9 Mei 2011 yang bertajuk, “600 orang sertai kempen mengembalikan hak kerakyatan Lim Lian Geok” telah melaporkan bahawa seramai 600 orang telah menyertai kempen hak kerakyatan Lim Lian Geok. Kempen tersebut dianjurkan oleh Yayasan Lim Lian Geok, diadakan sempena memperingati ulang tahun ke 50 kerakyatan mendiang yang telah ditarik balik oleh kerajaan. Dalam perkembangan lain, pengerusi institusi pendidikan Cina Dong Jiao Zhong dan Dr. Yap Sin Tian pada satu upacara yang berasingan juga menyatakan hasrat untuk memulihkan kerakyatan mendiang Lim Lian Geok.

Mendiang Lim Lian Geok dilahirkan di Yongchun Fujian, China pada 5 Julai 1901 tiba di Persekutuan Tanah Melayu pada 1931. Mendiang pernah mengajar di sebuah sekolah di Klang dan telah meninggal dunia pada 18 Disember 1985. Mendiang memohon taraf kewarganegaraan Persekutuan di bawah naturalisasi pada 27 Januari 1951, dan telah diluluskan taraf Kewarganegaraan Persekutuan pada 25 September 1951 melalui Sijil Kewarganegaraan bernombor 201811, Fasal 125 dan 126(1B) Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Walau bagaimanapun, kerajaan pada masa itu telah mengambil tindakan melucutkan taraf kewarganegaraan Lim Lian Geok @ Lim Chai Khoo dengan mengeluarkan notis perlucutan di bawah Perkara 27(1) Perlembagaan Persekutuan, yang bertarikh 12 Ogos tahun 1961. Mendiang telah dilucutkan taraf kewarganegaraannya melalui perintah perlucutan bertarikh 12 November 1964.

Berhubung dengan isu taraf kewarganegaraan mendiang, pada masa kini tidak ada mana-aman peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini. Oleh itu, kerajaan tidak dapat mempertimbangkan pengembalian semula taraf kewarganegaraan Malaysia kepada mendiang Lim Lian Geok @ Lim Chai Khoo seperti mana yang ditetapkan di dalam kaedah 28. Kaedah-kaedah kewarganegaraan 1964 pindaan 1996 yang menyatakan bahawa pemohon hendaklah hadir sendiri dan menurunkan tandatangan di hadapan pendaftar semasa mengemukakan permohonan kewarganegaraannya.

Berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa pada masa ini, adalah jelas bahawa tiada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan seseorang yang telah meninggal dunia mendapatkan semula taraf kewarganegaraannya. Ini juga terpakai kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk mewakili orang yang telah meninggal dunia bagi memohon semula taraf kewarganegaraan tersebut. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Terima kasih Yang Berhormat. Sebagaimana yang telah ditangguhkan tadi, Dewan akan bersidang semula pada jam 10 pagi, pada hari Khamis 23 Jun 2011.

Dewan ditangguhkan pada pukul 9.30 malam.